Apabila memandu kenderaan di Kuala Lumpur, saya dapati banyak iklan jualan atau promosi yang digantung pada tiang lampu jalan raya atau dipacakkan di bahu jalan. Sebelum ini kita sudah lali dengan kebanjiran iklan haram seperti pinjaman wang, khidmat urut dan sebagainya, Bagaimana pula dengan iklan seperti jualan promosi, acara, ekspo dan karnival?.
INGIN TAHU
Kuala Lumpur
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak akan meluluskan permohonan permit penganjuran acara seperti pameran, ekspo, karnival dan sebagainya kepada pihak penganjur yang didapati memasang iklan secara haram sehingga mencacatkan pemandangan ibu kota. Sekiranya mereka telah mendapat kelulusan permit tetapi memasang iklan secara haram untuk mempromosikan jualan atau perniagaan mereka, maka tindakan notis kesalahan akan dikeluarkan, termasuk wang cagaran dirampas.
TAN SRI MHD. AMIN NORDIN ABD. AZIZ
Datuk Bandar Kuala Lumpur