Lebih menghairankan persatuan-persatuan ini ada yang langsung tidak mempunyai kaitan dengan PDRM dan dipercayai menyalahgunakan nama pasukan untuk kepentingan sendiri.

Malah, sebahagian daripada persatuan ini dipercayai me­min­ta derma dan tajaan daripada syarikat korporat serta menjual kad lambang polis yang kononnya mempunyai ‘kuasa’.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador ketika mendedahkan perkara itu memberitahu, perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut te­lah memburukkan nama PDRM.

“Ada dalam kalangan persatuan ini yang hanya menggunakan nama PDRM, namun aktiviti yang dijalankan langsung tidak berkaitan dengan organi­sasi.

“Malah, ada juga persatuan yang diwujudkan semata-mata untuk menjual kad persatuan menggunakan lambang PDRM yang kemudiannya disalah guna untuk mengutip derma, mengelak saman dan sebagainya,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Ibu pejabat Polis Bukit Aman semalam.

Menurut Abdul Hamid, kewujudan persatuan-persatu­an ini sememangnya dilihat perlu bagi menjamin kebajikan warga polis terutama bagi mereka yang telah bersara.

“Semasa dalam perkhidmatan kita akan dapat gaji penuh berserta elaun, tapi selepas bersara, kita hanya akan dapat satu pertiga daripada gaji, jadi persatuan inilah nanti yang akan dapatkan bantuan daripada kerajaan, pungutan derma dan sebagainya.

“Bagaimanapun, apabila sudah terlalu ba­nyak dan ada pula yang salah guna nama PDRM, saya bimbang akan burukkan lagi nama PDRM. Cuba bayangkan, pada sekitar 2015, warga Bangladesh pun boleh ada kad persatuan menggunakan nama PDRM, ini perlu dihalang,” jelasnya.

Abdul Hamid menegaskan, beliau sendiri akan membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat dalaman untuk membincangkan kaedah terbaik mengurangkan jumlah persatuan tersebut dan hanya mengekalkan persatuan yang perlu sahaja.

“Di samping itu, saya juga mahu timbulkan kesedaran kepada pesara-pesara polis, tak payahlah buat banyak-banyak persatuan, senang kerajaan nak salurkan bantuan, syarikat korporat pun tak tertipu,” ujarnya.