Utusan Kota kali ini berkongsi lima daripada tamantaman awam terbaik yang wajib dikunjungi kerana tarikan yang tersendiri.

Taman Eko Rimba, Kuala Lumpur

Dahulu dikenali sebagai Hutan Simpan Bukit Nanas, hutan dipterokarpa bukit ini merupakan antara warisan hutan simpan tertua di negara ini. Terletak dalam radius tiga kilometer dari ibu kota, Taman Eko Rimba Kuala Lumpur menjadi tarikan utama warga kota dan pelancong yang ingin ‘lari’ dari kesibukan metropolitan.

Tarikan utama di taman ini adalah jambatan gantung sepanjang 200 meter yang memberi peluang kepada pengunjung melihat keindahan kanopi hutan dari perspektif burung.

Antara tarikan berhampiran taman ini adalah Menara Kuala Lumpur yang boleh dikunjungi dengan hanya berjalan kaki.

Bayaran masuk: Percuma

Waktu operasi: Setiap hari dari pukul 7 pagi hingga 7 petang

Taman Pudu Ulu

Taman berkeluasan 64 hektar yang terletak di Taman Shamelin, Cheras Kuala Lumpur ini merupakan antara taman rekreasi paling lengkap dengan kemudahan riadah antaranya kolam renang kanak-kanak, trek larian, arena sukan ‘petanque’, padang bola sepak, taman permainan, gimnasium trek luar, laluan refleksologi dan khemah berkanopi yang disediakan untuk aktiviti zumba dan lain-lain.

Saiz taman yang besar dan kedudukannya yang strategik menjadikan ia lokasi penganjuran beberapa acara bertaraf antarabangsa seperti Festival Orkid dan Bonsai Kuala Lumpur yang diadakan setiap tahun.

Terbaharu, taman ini dilengkapi dengan pemasangan butang kecemasan atau panic button untuk tujuan keselamatan pengunjung apabila berlaku kecemasan atau jenayah.

Bayaran masuk: Percuma

Waktu operasi: Setiap hari dari 6 pagi hingga 8 malam

Taman Layang-layang Metropolitan Kepong

Taman Metropolitan Kepong seluas 90 hektar merupakan antara taman rekreasi terbesar di Kuala Lumpur yang sering dijadikan tempat beriadah warga kota dan penduduk sekitar Selayang dan Batu Caves.

Taman ini dilengkapi trek jo­ging, trek berbasikal, taman permainan kanak-kanak, padang bola sepak, kemudahan bersenam dan sebuah padang yang luas untuk aktiviti permainan layang-layang.

Sebuah menara tinjau setinggi bangunan lima tingkat menjadi antara tarikan utama untuk melihat panorama keseluruhan taman tasik ini.

Selain dikunjungi keluarga untuk riadah dan bermain layang-layang, taman ini juga menjadi lokasi kegemaran kaki pancing.

Bayaran masuk: Percuma

Waktu operasi: Setiap hari dari pukul 6 pagi hingga 8 malam

Taman Saujana Hijau, Putrajaya

Taman berkeluasan 47 hektar yang terletak di Presint 11 Putrajaya ini cukup luar biasa kerana dikelilingi rimbunan pokok pain yang menghiasi kawasan bukit seolah-olah pemandangan di negara Eropah.

Kawasan cerun bukit dan ta­nah berteres yang dikekalkan serta laluan taman yang berliku menjadikan taman ini mempunyai nilai tarikan tersendiri.

Berdiri di tengah-tengah antara dua bukit memberi peluang kepada pengunjung menyaksikan keindahan landskap berlekuk seperti bentuk biola.

Terdapat tiga astaka di sekitar taman ini yang berkonsepkan Inggeris, Oriental dan Eropah. Puncak tertinggi taman ini terletak di Astaka Eropah. Pengunjung berpeluang melihat hampir 360 darjah pemandangan sekitar Putrajaya.

Paling menarik, pengunjung boleh menyaksikan keindahan pemandangan matahari terbenam yang menakjubkan.

Tidak hairan jika lokasi ini dijadikan antara ‘spot’ kegemaran pengunjung mengabadikan kenangan melalui gambar.

Bayaran masuk: Percuma

Waktu operasi: Setiap hari dari pukul 7 pagi dan 7 petang

Taman Bukit Jalil

Taman rekreaksi yang terletak lebih kurang dua kilometer dari Stadium Nasional Bukit Jalil ini menempatkan 10 ‘replika negara’ iaitu Malaysia, England, Belanda, Jepun, China, Iran, Indonesia, Thailand, Kanada dan Peru.

Ramai yang tidak tahu replika negara-negara yang dipamerkan sangat sesuai dijadikan tempat penggambaran video dan fotografi seperti di rumah tradisional Malaysia dan kincir angin Belanda.

Taman ini mempunyai trek joging dan basikal di kawasan berbukit yang dikelilingi kehijauan alam. Selain sebagai tempat beriadah dan tempat permainan, pengunjung juga berpeluang melihat dan memberi makan ratusan ikan keli dan kura-kura yang ditempatkan di dalam dua buah tasik di situ.

Bayaran masuk: Percuma

Waktu operasi: Setiap hari dari pukul 7 pagi dan 8 malam.