Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, agihan bendera itu bertujuan menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kemerdekaan dalam kalangan warga kota.

Beliau berkata, pemasangan Jalur Gemilang turut dilakukan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) serta bangunan-bangunan milik DBKL.

"Taklimat telah diberikan kepada pemilik dan penyewa bangunan di bandar raya ini dan mereka diminta untuk memberi kerjasama sepenuhnya dengan melaksanakan pengindahan serta pemasangan bendera di bangunan masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Dataran Merdeka di sini, semalam.

Katanya, sepanjang kempen Bulan Kemerdekaan ini, pelbagai aktiviti dirangka di peringkat parlimen oleh persatuan penduduk mengikut zon masing-masing.

“Saya amat mengalu-alukan penyertaan warga kota daripada pelbagai kaum untuk bersama merayakan sambutan Bulan Kemerdekaan ini supaya hubungan dan perpaduan rakyat dapat lagi ditingkatkan," katanya. - UTUSAN ONLINE