Menurut Felda, pelantikan itu dibuat susulan kenyataan pengerusinya, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd. Nor sebelum ini iaitu pemulihan Felda akan dibuat secara sistematik melalui inisiatif-inisiatif Projek Transformasi ke arah hala tuju yang lebih mapan.

Katanya, projek tersebut akan dipantau oleh Majlis Transfor­masi yang dinaungi oleh Pe­ngerusi Felda dan diketuai oleh Pengarah Besar Felda serta dianggotai pengurusan tertinggi Felda.

Malah, katanya, prestasi Projek Transformasi berkenaan akan turut dilaporkan kepada Lembaga Felda secara berkala bagi menjamin tadbir urus yang baik.

“Projek Transformasi Felda ini sudah hampir diformulasi dengan 31 inisiatif strategik dikenal pasti. Inisiatif tersebut akan dilaksanakan mengikut tiga fasa yang pada masa ini akan berjalan selama lapan bulan bagi setiap fasa.

“Fasa pertama adalah bagi mewujudkan momentum dan mencapai penyelesaian isu-isu utama dengan segera, fasa kedua pula melibatkan lebih banyak ­inisiatif yang berada dalam kategori fokus strategik bagi menyasarkan percambahan pertumbuhan dan fasa ketiga akan memberi tumpuan kepada penyampaian dan pembinaan keupayaan dalaman Felda yang lestari melibatkan penambahbaikan proses, struktur dan budaya kerja.

“Segala usaha akan dibuat supaya fasa-fasa ini boleh berjalan serentak untuk mempercepatkan proses pemulihan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Felda berkata, antara inisiatif yang sedang dilaksanakan adalah meningkatkan mutu per­khidmatan pengurusan hutang peneroka bagi menangani isu-isu yang telah ditimbulkan oleh peneroka supaya sistem pengurusan hutang yang lebih telus dan baik dapat dilaksanakan.

Selain itu, penyelesaian ma­salah pewarisan tanah peneroka juga antara inisiatif yang dikeluarkan.

“Daripada seramai 112,635 ke­luarga peneroka, sebanyak 30 peratus berhadapan masalah pewarisan manakala 58 peratus lagi akan berhadapan dengan isu ini berdasarkan faktor usia pene­roka yang semakin meningkat.

“Penyelesaian jangka panjang perlu dicapai segera bagi memastikan kesinambungan pemilikan dan kesejahteraan komuniti peneroka seluruhnya. Selain itu, inisiatif-inisiatif lain turut melibatkan penyusunan semula Kumpulan Felda dan juga mengenal pasti model kemapanan jangka panjang,” katanya.

Felda juga berkata, sebahagian daripada inisiatif tersebut akan di­muktamadkan selepas perbincangan dengan ke­rajaan mengenai pilihan terbaik bergerak ke hadapan untuk Felda.

Dalam perkembangan lain, Felda memaklumkan lembaga juga te­lah meluluskan Be­lanjawan 2019 bagi Felda yang berkurangan 23 peratus berbanding 2018.

“Melangkah ke hadapan, tanah ladang Felda dan peneroka adalah aset utama yang perlu ditambah nilai untuk kepen­­ti­ngan peneroka.

“Oleh itu, inisiatif untuk meningkatkan hasil daripada tanah itu akan berjalan lancar dengan kerjasama warga pene­roka termasuk meng­aplikasian Amalan Pertanian Baik (GAP) dan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) untuk mencapai harga pasaran sewajarnya,” katanya.