DBKL dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, tindakan diambil di bawah kesalahan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 yang mana bagi kesalahan ini boleh dikenakan denda tidak melebihi RM300.

“Tindakan secara harian dan rutin ini bertujuan menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya contoh dalam pematuhan undang-undang jalan raya di samping mendidik orang ramai bertanggungjawab serta mengambil berat keselamatan pengguna lain.

“Tindakan akan diteruskan dari semasa ke semasa selagi mentaliti pengguna tidak menjurus ke arah pematuhan peraturan,” katanya.

Menurut DBKL, antara kesalahan yang sering dilakukan oleh pemandu adalah meletakkan kenderaan di garisan kuning, membuat halangan fizikal serta meletak kenderaan secara bertindih.

“Sikap pentingkan diri sendiri oleh segelintir pemandu di sekitar ibu kota sering menjadi rungutan ramai. Tindakan mereka meletakkan kenderaan di bahu jalan sesuka hati telah menyebabkan kesesakan lalu lintas dan kesukaran kepada orang lain.

“Bagi mengatasi serta mengurangi rungutan ini, DBKL melaksanakan tindakan penguatkuasaan dengan menunda kenderaan yang menyebabkan halangan lalu lintas bagi tujuan melancarkan aliran lalu lintas serta mengurangkan kesesakan khususnya di pusat bandar.

“Warga kota dinasihatkan untuk lebih bersikap prihatin serta mematuhi peraturan yang telah ditetapkan semasa menggunakan tempat awam bagi memastikan lalu lintas dalam keadaan lancar,” katanya. - UTUSAN ONLINE