Majlis yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM) bermula 14 hingga 18 Ogos itu melibatkan penyertaan 758 kadet Kor SISPA dari 21 universiti awam dan swasta.

Pentauliahan disampaikan oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari diiringi Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Datuk Roslan Wahab dan Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris.

Amirudin dalam ucapannya, menyeru pegawai kadet yang bakal ditauliahkan supaya menyuburkan ikrar yang telah dimeterai semasa menyertai Kor Sispa untuk terus menyumbang tenaga dan bakti bagi bersiap siaga membantu negara menghadapi segala kemungkinan untuk memastikan keselamatan awam negara dalam keadaan terkawal.

“Hal ini bersesuaian dengan tema pentauliahan pada tahun ini iaitu ‘APM Penanda Aras Semangat Kesukarelaan’. Program Kor Sispa merupakan sebuah program yang dapat menarik minat ramai mahasiswa dan mahasiswi untuk terus terlibat secara aktif dalam aktiviti yang bermanfaat.

“Semoga mereka akan terus menjadi insan mulia, menyumbang kepada masyarakat dan negara untuk membolehkan rakyat Malaysia hidup dalam keadaan aman dan harmoni kerana Pertahanan Awam sentiasa bersama masyarakat,” katanya. - UTUSAN ONLINE