Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) LEP 4, Nurul Aizar Ab. Rahman berkata, program anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Zon Puchong/Serdang itu bertujuan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan penduduk setempat.

Menurutnya, program diisi dengan aktiviti berbuka puasa dan rondaan bersama anggota polis yang disempurnakan Ketua Unit Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, ASP Abang Zulkarnain Abang Mohamad.

“Rondaan bersepadu itu melibatkan enam KRT antaranya KRT Taman Lestari Putra Seksyen 1, Taman Lestari Putra Seksyen 3, Taman Lestari Putra Seksyen 4 dan Taman Lestari Putra Seksyen 5.

“Inisiatif ini bertujuan mencegah jenayah di Taman Lestari Putra sempena musim perayaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Abang Zulkarnain berkata, program Jom Ronda dapat menjalinkan kerjasama erat antara pihaknya bersama komuniti LEP 4 terutama Skim Rondaan Sukarela (SRS) dalam usaha menangani jenayah.

“Diharapkan program ini akan diteruskan setiap minggu di Taman Lestari Putra supaya kegiatan jenayah dapat dicegah,” katanya.

Yang turut hadir Pengawai JPNIN Daerah Petaling, Kanmalar Rajendren dan wakil-wakil Ahli Jawatankuasa KRT Taman Lestari Putra. - UTUSAN ONLINE