Acara yang berlangsung di Kompleks Komuniti Muhibbah, di sini pada 11 November lalu itu dianjurkan bagi memenuhi keperluan kursus projek tahun akhir mereka di bawah kategori Penganjuran Acara Khas.

Pengarah program, Hazwani Faiqah Zulkefli berkata, acara bertemakan Fit For Life tersebut menjadi wadah untuk masyarakat khususnya penduduk di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Muhibbah meluangkan masa melakukan aktiviti berfaedah bersama keluarga.

“Inisiatif kesihatan ini bertujuan memupuk kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan demi kesejahteraan hidup selain menjadi platform dalam merapatkan hubungan sesama penduduk dan pelajar.

“Acara ini mendapat sambutan menggalakkan apabila disertai ratusan masyarakat berbilang kaum tanpa mengira peringkat umur bagi memenuhi masa lapang dengan melakukan aktiviti riadah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Menurutnya, pelbagai aktiviti dijalankan antaranya pemeriksaan kesihatan percuma, pertandingan mewarna dan jualan makanan sepanjang acara itu berlangsung bermula pada pukul 12 tengah hari hingga 11 malam serta menutup tirai dengan aktiviti zumba. - UTUSAN ONLINE