Berdasarkan maklum balas menggalakkan daripada para pelanggan tahun lalu, Ancasa Residences mengekalkan konsep masakan dengan citarasa kampung untuk memenuhi selera berbuka puasa kali ini.

Bertemakan ‘Kampong Boy’, gabungan idea beberapa orang cef berpengalaman dalam masakan tradisional Melayu khususnya hidangan tradisional Negeri Sembilan telah menampilkan kelainan dalam menu yang disajikan.

Menurut Ketua Cef, Yoahanis Jalaludin, lebih 120 menu sajian Melayu ditawarkan antaranya masak lemak cili padi ala Ancasa dengan pilihan makanan laut dan sayur-sayuran, kambing masala, pelbagai jenis kerabu, nasi beriani, ikan bakar dan kambing panggang.

Katanya, turut disajikan kuih-muih seperti apam balik, roti john, roti jala, martabak, pisang goreng, cucur dan juga manisan seperti ais kacang, bubur serta puding yang pastinya mengubat rindu kepada masakan ibu di kampung halaman.

"Kami masih mengekalkan konsep gerai dan ‘live cooking’ dengan 14 gerai dihias dengan tema ‘Kampong Boy’ bagi memberi pengalaman seperti menikmati makanan di rumah," katanya di sini baru-baru ini.

Tema yang dipilih juga bertepatan dengan Kempen ‘Stay, Dine & Win’ yang sedang berlangsung dan akan berakhir pada 14 Julai 2018 iaitu tarikh bagi perlawanan akhir bola sepak Piala Dunia 2018.

Bufet Ramadan di Ancasa Residences ditawarkan pada harga berpatutan iaitu RM48 untuk dewasa dan RM30 untuk kanak-kanak. Untuk maklumat lanjut dan tempahan boleh menghubungi talian 06-6627288. - UTUSAN ONLINE