Ketua Pegawai Perniagaan BSN, Mujibburrahman Abd. Rashid berkata, sepanjang tempoh program diadakan para pelanggan BSN Mikro/i berpeluang mempelajari penggunaan perisian perakaunan dengan tunjuk ajar para pelajar dan pensyarah Fakulti Perakaunan UiTM.

“Melalui program ini para pelanggan BSN Mikro/i dapat merekodkan maklumat perniagaan mereka dengan lebih tepat serta membina rekod transaksi perniagaan dengan lebih teratur dan sistematik.

“Selain itu, mereka juga dapat mengenal pasti kedudukan kewangan syarikat, mengawal kos dan perbelanjaan perniagaan serta mengawal aliran tunai perniagaan, jumlah pendapatan, perbelanjaan perniagaan secara harian, mingguan dan juga bulanan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Perisian perakaunan SPS Lite diberikan secara percuma selama setahun kepada pelanggan BSN Mikro/i yang terpilih.

Mujibburrahman berkata, kaedah yang digunakan akan turut memudahkan para pelanggan Mikro/i untuk membuat pembayaran cukai atau zakat dan berpeluang mengenal pasti punca kemerosotan serta mengelakkan penyelewengan di syarikat mereka melalui perisian perakaunan berkenaan. - BERNAMA