DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam satu kenyataan, kejayaan tersebut merupakan langkah penting untuk memperkasa bidang sastera dan perbukuan negara apatah lagi karya-karya itu dilancarkan dalam Pameran Buku Antarabangsa Beijing 2019.

Lebih menarik, jelas DBP, semua buku berkenaan telah diterjemahkan ke dalam bahasa Mandarin menerusi kerjasama erat antara agensi itu dengan Guangxi Normal University Press.

“Sebanyak 10 judul karya Sasterawan Negara adalah Srengenge dan Tivi karya Prof. Emeritus Datuk Dr. Shahnon Ahmad; Naratif Ogonshoto dan Hari-hari Terakhir Seorang Seniman karya Datuk Dr. Anwar Ridhwan serta Warkah Eropah (Datuk Seri A. Samad Said).

“Selain itu, beberapa karya Sasterawan Negara lain termasuk Saudagar Besar di KL dan Rimba Harapan (Keris Mas); Salasilah (Datuk Dr. Zurinah Hassan); Postponing Truth and Other Poems tulisan Datuk Dr. Baharuddin Zainal (Baha Zain) serta Juara (S. Othman Kelantan) turut dipasarkan di pasaran negara itu,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, DBP memberitahu akan terus menjalinkan kerjasama seperti yang telah dilakukan itu dalam usaha untuk memartabatkan karya-karya penting Sasterawan Negara.

“DBP juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik kerana telah memulakan langkah agresif kerjasama dua hala lebih erat antara Malaysia dan China bagi merealisasikan hasrat ini.

“Kerajaan China juga memandang tinggi peradaban Malaysia dan menyatakan minat terhadap karya sastera negara ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE

HABIS