Presiden PPj, Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, festival yang merupakan acara ikonik daerah ini akan berlangsung di Persiaran Perdana Presint 3, Kompleks PPj dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), di sini.

Beliau berkata, festival kali ketujuh diadakan ini menampilkan kelainan dengan penganjurannya diadakan lima hari lebih awal dari tarikh 1 Ramadan.

“Kami menyasarkan 1.5 juta pengunjung akan datang ke festival ini sekali gus mengimarahkan lagi sambutan Ramadan di Putrajaya.

“Festival yang bermula pada pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam ini akan melibatkan kira-kira 300 orang peniaga,” katanya dalam sidang akhbar prapelancaran FRP2019 di sini hari ini

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, FRP2019 dibahagikan kepada tiga komponen iaitu bazar Ramadan, anjung Syawal dan laman iftar.

Di samping itu, festival tersebut turut disertai 20 selebriti antaranya Datuk Rosyam Nor, Shuib Sepahtu, Siti Sarah, XPDC dan ramai lagi.

“Festival ini turut diisi dengan pelbagai program keagamaan dan kerohanian seperti pameran seni lukis nama Allah Route 99, The Mufti Talk, Putrajaya Sunnah Sport dan banyak lagi.

“Majlis perasmian FRP2019 dijangka berlangsung pada 3 Mei ini oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad,” katanya. - UTUSAN ONLINE