Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Soiman Jahid berkata, peningkatan  jumlah kerugian itu disebabkan beberapa faktor termasuk kes-kes yang membabitkan premis perkilangan selain aset  hartanah.

"Walaupun kes kebakaran mencatatkan penurunan tapi berlaku peningkatan nilai kerugian  ekoran bencana turut melibatkan kilang-kilang yang mempunyai nilai harta yang tinggi.

"Begitu juga faktor penilaian kebakaran setelah mengambil kira peningkatan harta ekoran kenaikan aset perumahan masa kini, ini dua kemungkinan yang berlaku," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 JBPM Terengganu dan Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JBPM Terengganu, Azlimin Mat Noor dan timbalannya, Sharikan Bustaman di samping Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur, Sobberi Basiran.

Dalam majlis itu, seramai 53 pegawai dan anggota menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) manakala 30 pegawai dan anggota menerima Anugerah Pingat Kebesaran jabatan berkenaan.

Soiman seterusnya berkata, berdasarkan statistik, pihaknya menerima sebanyak 82,000 panggilan kecemasan dan daripada jumlah itu, kira-kira 30,000 melibatkan panggilan kebakaran  manakala lain-lain adalah panggilan penyelamatan.

Menurutnya, jumlah kes kebakaran paling tinggi adalah membabitkan rumah kediaman dan diikuti sektor perkilangan.

"Rumah kediaman mencatatkan kes kebakaran paling tinggi dan kedua
melibatkan kilang-kilang. Rumah kediaman bertambah seiring dengan pertambahan jumlah penduduk," ujarnya. - UTUSAN ONLINE