Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan Persekutuan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) terlebih dahulu sebelum dibawa dan dibincangkan dalam mesyuarat kerajaan negeri pada Rabu depan.

“Kita akan dengar hujah daripada pihak kerajaan Persekutuan terlebih dahulu kerana mereka mempunyai hak untuk menyelaraskan tarif air dan kita akui kadar tarif air memang boleh berubah mengikut beberapa aspek.

“Perubahan itu bergantung kepada jumlah air yang dibekalkan, perbelanjaan membina infrastruktur dan kos penyelenggaraan yang melibatkan kos besar,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Mukhriz bersama Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah dan lebih 800 peserta menyertai kayuhan basikal Fun Ride sejauh 40 kilometer sempena Red Eagle Tour 2019 di Medan Bandar Alor Setar di sini, hari ini.

Mukhriz berkata, pihaknya juga akan melihat dahulu formula yang akan digunakan kerajaan persekutuan dan SPAN sebelum membuat keputusan kenaikan kadar tarif air terhadap golongan B40 di Kedah.

“Sekiranya dilaksanakan, ia akan melibatkan kadar tarif yang berbeza kepada golongan B40 jadi tak pasti pendekatan yang diambil. Kita faham keperluan rakyat dan itu jadi keutamaan,” katanya. - BERNAMA