Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pemilihan itu juga dilakukan setelah melihat profil dua pengarah syarikat tersebut yang mempunyai pengalaman luas dalam penanaman semula ladang hutan selain diyakini mampu menjalinkan kerjasama baik dengan Jabatan Perhutanan negeri. 

Malah katanya, syarikat sama juga akan menjalinkan kerjasama dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) untuk mengusahakan ladang hutan bagi kawasan-kawasan hutan sekunder.

"Dalam kita mentadbir, setiap keputusan yang dibuat adalah mengikut ulasan-ulasan yang diberikan setiap jabatan. Perkara ini juga dibuat oleh pentadbiran (kerajaan) terdahulu.

"Apabila kita mempunyai kawasan-kawasan yang mempunyai pokok yang tidak lagi memberi hasil, maka kita perlu membuat penanaman semula agar memberi hasil lebih banyak kepada negeri

"Saya sendiri tidak mengenali kedua-dua pengarah syarikat itu namun melihat latar belakang mereka, boleh bekerjasama baik dengan Jabatan Perhutanan seterusnya memberi hasil yang besar kepada negeri, maka kita bersetuju untuk luluskan projek ladang hutan di kawasan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Iskandar di tapak perumahan tersebut di sini hari ini.

Memetik laporan media baru-baru ini, satu surat Jabatan Perhutanan negeri tular di media sosial mengenai kelulusan permit kepada sebuah syarikat untuk tujuan projek pembangunan ladang hutan di dalam Hutan Simpan Kledang Saiong dan Hutan Simpan Bukit Kinta.

Surat bertarikh 14 Disember 2018 itu memaklumkan yang kerajaan negeri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Sumber Hasil Hutan Negeri Perak Bil 2/2018 pada 21 November lalu telah meluluskan kawasan seluas 400 hektar kepada syarikat berkenaan. - UTUSAN ONLINE