Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr. Nik Mohd. Azlan Abd. Hadi berkata, antara sektor yang boleh dipertimbangkan adalah pembangunan tanah wakaf yang diuruskan Maik.

“Sebarang pendapatan yang kita peroleh boleh digunakan untuk membantu asnaf contoh­nya, pembinaan rumah golongan miskin.

“Setiap tahun kami membina purata 150 rumah de­ngan nilai kos setiap satu adalah RM40,000. Sekiranya kita mempunyai peruntukan lebih besar, maka lebih ramai lagi dapat kita bantu,” katanya selepas majlis penyerahan zakat perniagaan daripada Rakyat Holdings Sdn. Bhd. (Rakyat Holdings) kepada Maik, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Pengerusi Rakyat Holdings, Datuk Seri Jamil Salleh menyampaikan cek bayaran zakat perniagaan bagi tahun 2016 dan 2017 berjumlah RM130,000 kepada Nik Mohd. Azlan yang mewakili Maik.

Nik Mohd, Azlan berkata, sehingga semalam, sebanyak RM148.9 juta wang zakat berjaya dikutip sepanjang tahun ini.

“Kita menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM180 juta tahun ini dan yakin ia mampu dicapai dalam tempoh sebulan yang berbaki, biasanya pada penghujung tahun ramai pihak sama ada korporat mahupun individu berlumba-lumba menunaikan zakat,” katanya.

Sementara itu, Jamil berkata, sebagai anak syarikat kepada Bank Rakyat, pihaknya mempunyai banyak cabang perniagaan termasuk dalam bidang hartanah dan pelancongan.

“Kami sedia membantu Maik melihat peluang perniagaan yang boleh memberi manfaat kepada semua pihak khususnya golongan asnaf.

“Hasil daripada keuntungan syarikat ini, kami dapat mengeluarkan zakat perniagaan lebih RM1.6 juta bagi tahun 2016 dan 2017,” katanya.