Guru Besar Sekolah itu, Yasmi Sabri Yasim berkata, pungutan derma kilat dibuat bagi membolehkan Program Ziarah Kasih ke rumah ibu tunggal itu dilakukan sempena sambutan awal Hari Guru peringkat sekolah.

Menurutnya, hasil pungutan itu digunakan untuk membeli barangan keperluan harian termasuk makanan berzat untuk anak-anaknya.

“Rabiatuladawiyah adalah ibu kepada murid sekolah ini, Wan Nur Dhiya Wan Rabuan, 7, yang baru mendaftar masuk pada 14 April lepas selepas pindah dari SK Pangkal Meleret, Machang.

“Pihak sekolah mengetahui latar belakang kesusahan hidupnya selepas membaca laporan Utusan Malaysia minggu lepas turut menyediakan uniform dan pakaian sukan sekolah,” katanya ketika ditemui di rumah sewa ibu tunggal berkenaan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Puteh, Mohd. Azmi Mohamed dan Penolong Kanan sekolah berkenaan, Rizwani Kamaruddin.

Difahamkan reban ayam yang dibaikpulih sebagai kediaman mereka sebelum ini sudah dirobohkan bagi pembinaan rumah baharu yang lebih selesa oleh pihak yang berkenaan.

Yasmi berkata, Wan Nur Dhiya turut disenaraikan sebagai penerima skim Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi memastikan murid ini kenyang sepanjang mengikuti pembelajaran kerana dia kerap tidak membawa wang saku ke sekolah.

“Pihak sekolah sentiasa mengambil langkah proaktif dalam membantu murid miskin selaras dengan Program Sekolah Penyayang. Kami tidak mahu masalah kemiskinan menjadi penghalang untuk murid hadir belajar,” katanya.

Rabiatuladawiyah yang berpisah dengan suaminya sejak enam bulan lalu memilih reban ayam yang dibaiki dengan dinding zink terbuang sebagai kediaman mereka sekeluarga dan difahamkan bekas suaminya gagal menyantuni keperluan anak-anak kerana menghidap penyakit kronik selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya. - UTUSAN ONLINE