Itu sifat yang ada pada Samad yang membolehkan ‘dia’ muncul juara dalam pertandingan Beruk Pulas Nyior sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kelantan di Pantai Bisikan Bayu, di sini hari ini.

Aksi lincah Samad, beruk berusia tiga tahun menjatuhkan satu persatu buah kelapa dari palang kayu menggunakan taring dan kaki dalam gelanggang pertandingan itu turut mencuri tumpuan orang ramai di situ.

Mereka kagum melihat Samad begitu komited pada arahan tuannya, Mohd. Azrul Hakimi Mohammad, 20, tanpa banyak ragam berbanding 11 pencabar lain. Dalam pertandingan itu, setiap beruk diberikan tempoh masa 1 minit 15 saat.

Di akhir pertandingan, Samad berjaya menjatuhkan 15 biji kelapa dalam tempoh ditetapkan, jauh meninggalkan pencabar terdekat, Tokok yang sekadar menjatuhkan enam biji kelapa serta Itey di tempat ketiga dengan lima biji kelapa.

Mohd. Azrul Hakimi dari Kampung Kandis, Bachok, berkata, Samad ialah beruk yang berjasa kerana banyak menyumbang pendapatan kepadanya yang mencari rezeki membekalkan kelapa kepada pengusaha memproses santan.

Menurutnya, dari luaran, Samad mungkin kelihatan ‘bengkeng’ atau garang, namun beruk itu sebenarnya cukup mendengar kata dan tidak akan melengahkan kerja menjatuhkan kelapa.

“Beruk ini saya beli dengan harga RM5,100 dan kini, ramai yang berminat mahu membelinya. Malah saya ditawarkan dengan harga sehingga RM10,000.

“Saya tidak akan menjual Samad kerana haiwan bekerja ini adalah punca utama pendapatan saya sekarang bersama seekor lagi beruk yang sama tangkas dengannya yang kini berada di rumah,” katanya ketika ditemui Utusan Online.

Menurut Mohd. Azrul Hakimi, setakat ini, dia mempunyai dua ekor beruk dan tiga van pengangkut kelapa yang menjadi aset utama perniagaan kepada perniagaan kelapa.

Selain Samad, Tokok dan Itey, beruk-beruk lain yang menyertai pertandingan unik itu ialah Putih, Mamat, Jen, John, Said, Mat Yeh, Cotek, Salleh dan Kecik.

Hadiah tempat pertama hingga ketiga berupa barangan eletrik manakala peserta lain menerima hadiah sagu hati berupa hamper.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Ketua Unit Agrinomi, Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Shalika Abdul Razak.

Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim. - UTUSAN ONLINE