Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Jamil Salleh berkata, kerjasama menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu meli­batkan operasi bersama kedua-dua pihak di kawasan sempadan.

Menurutnya, sebagai permulaan, operasi bersama itu akan dilakukan selama tiga hari bermula Rabu ini dengan menfokuskan kawalan untuk menghalang barangan bersubsidi daripada masuk ke negara jiran.

“Melalui NBOS ini, akan memudahkan lagi proses siasatan sekaligus mempercepatkan lagi tindakan diambil ke atas mereka yang terlibat,” katanya.


Video oleh YATIMIN ABDULLAH

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani Prosedur Operasi Standard (SOP) antara Bahagian Penguatkuasaan PPDNKK Kelantan dan PPM di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Jamil mewakili PPDNKK negeri sementara PPM diwakili oleh Timbalan Pe­ngarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Azizan Abd Aziz.

Ujarnya, Kelantan akan menjadi perintis kerjasama NBOS dan akan diperluaskan di seluruh negara.

“Saya yakin dan percaya melalui NBOS ini kita dapat mengurangkan aktiviti penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand pada masa akan datang,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Jamil memberitahu, pihaknya juga turut menjalinkan kerjasama de­ngan pasukan keselamatan Thailand dalam mengekang aktiviti tersebut.

Katanya, kerjasama itu melibatkan pertukaran maklumat bagi memastikan penguatkuasaan dapat dijalankan dengan sebaik mungkin.