Kebanyakan rumah seolah-olah tidak berpenghuni dengan pintu dan tingkapnya yang tertutup rapi.

ANTARA pekerja Saibun yang memotong ayam untuk membuat sate.
ANTARA pekerja Saibun yang memotong ayam untuk membuat sate. - UTUSAN ONLINE

Timbul persoalan, ke mana mereka terutama golongan suri rumah dan warga emas yang tidak bekerja hilang pagi-pagi begini?

BEGINILAH keadaan perumahan yang kebanyakan penduduk membuat sate
BEGINILAH keadaan perumahan yang kebanyakan penduduk membuat sate bagi menyara keluarga di Kampung Baung. - UTUSAN ONLINE

“Setiap pagi bermula pukul 9 hingga tengah hari, kebanyakan penduduk sibuk membuat sate. Mereka berhenti rehat seketika pada waktu tengah hari sebelum masuk ‘pejabat’ semula sehingga lewat petang,” kata wakil Penghulu Kampung Baung, Shahrul Azuar Ismail.

‘Pejabat’ dimaksudkan itu rupa-rupanya adalah bangsal ringkas yang dibina khusus bagi tujuan pembuatan sate.

SATE siap dicucuk sering mendapat tempahan setiap hari.

SATE siap dicucuk sering mendapat tempahan setiap hari. - UTUSAN ONLINE

Disebabkan bangsal berkenaan terletak di belakang rumah pengusaha, maka tidak hairanlah kenapa perkampungan itu kelihatan sunyi sepi hampir setiap masa.

Menurut Shahrul Azuar, hampir 70 peratus penduduk di situ memilih mencari rezeki dengan berniaga dan majoriti mereka me­rupakan usahawan sate Baung.

“Bakinya pula adalah penduduk yang bekerja dengan usahawan terbabit. Mereka terdiri daripada golongan belia dan suri rumah. Malah warga emas di sini juga terlibat sama mengambil upah mencucuk sate bagi mengisi masa lapang,” katanya.

KACANG tanah dikisar untuk membuat kuah sate.

KACANG tanah dikisar untuk membuat kuah sate. - UTUSAN ONLINE

Bangsal milik Saibun Mat Din, 55, antara yang sempat ditinjau Utusan Malaysia. Dia ketika itu sedang memasak kuah kacang manakala isterinya, Hamidah Mohamad, 50, bersama ahli keluarga lain termasuk ibu mentuanya, Kalsom Mamat, 80, sibuk memotong daging ayam dan lembu.

Ketulan daging yang siap dipotong kecil seterusnya digaul dan diperap dengan rempah-ratus. Menjelang tengah hari, mereka bergotong-royong mencucuk daging pada lidi pula.

Kesemuanya dilakukan secara manual menggunakan kaedah tradisional tanpa mesin canggih atau alatan moden.

Saibun berkata, dia berasal dari Kodiang, Kedah dan selepas berkahwin dengan Hamidah yang merupakan anak jati Kampung Baung, mereka memulakan perniagaan sate berjenama Ain Sate Baung sejak 12 tahun lalu.

“Operasi di rumah biasanya melibatkan proses memotong, memerap dan mencucuk daging sate serta membuat kuah kacang, manakala proses membakar dan menjual sate pula dilakukan di kedai kami di Kampung Kota bermula pukul 5 petang hingga 10 malam setiap hari,” katanya.

Bersebelahan bangsal Saibun pula merupakan bangsal sate dimiliki keluarga Sudin Mohamad, 62, iaitu abang kepada Hamidah.

Keluarga itu juga sedang bertungkus-lumus membuat sate untuk jualan harian di kedai mereka, Din Sate Baung yang terletak di Kampung Penambang.

Kira-kira 200 meter dari rumah Sudin, dapat dilihat lelaki bernama Masrulnizam Mohamad Nor sedang berehat di atas pangkin bersama ibunya.

Pemuda berusia 22 tahun itu juga mempunyai bangsal sate, namun suasana di situ agak berbeza kerana lebih tenang dan lengang.

“Sekarang proses mencucuk sate. Pekerja kami semuanya suri rumah yang ada anak kecil. Jadi kami benarkan mereka bawa pulang daging yang siap diperap untuk dicucuk lidi di rumah masing-masing,” katanya yang mengusahakan kedai Lan Sate Baung.

Tiada rekod rasmi bilangan sebenar pengusaha sate di Kampung Baung, namun lebih 30 nama besar beroperasi di situ.

Antaranya ialah Satay Osman, Ha Sate, Kak Lah Satay, Kak Ani Satay, Warisan Sate Baung dan Zamri Osman Satay.

Perusahaan sate di Kampung Baung beroperasi sepanjang tahun dan Syawal merupakan bulan paling sibuk kerana tempahan tidak putus-putus diterima setiap hari.

Jangan terkejut, dianggarkan hampir sejuta cucuk sate dihasilkan di kampung itu sepanjang Syawal tahun lalu.

Pelanggan mereka pula bukan terhad di negeri ini, malah menjangkau sehingga Terengganu, Pahang dan Perak. Kelebihan berpihak kepada pengusaha yang mampu membuat sate sejuk beku kerana dapat memenuhi tempahan dari jauh seperti ibu negara dan negeri selatan tanah air.

Sambutan hebat dan transaksi jual beli sebegitu rancak membuktikan ekonomi di Kampung Baung yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka dipacu sepenuhnya oleh perusahaan sate.

Malah tidak keterlaluan jika penulis mengatakan, kampung yang terletak hanya 6.4 kilometer dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) tersebut sebenarnya merupakan pusat pembuatan sate utama negeri ini.