Malah bekas Pengarah Pembangunan Penjara Malaysia, Husain Beladar, 82, yang berasal dari Ketereh di sini juga adalah anak tempatan yang membuka Taman Buaya Pantai Cahaya Bulan (PCB) iaitu satu-satunya taman buaya yang pernah beroperasi di Kelantan.

Fizikalnya tegap dan langkahnya pantas meskipun pendengaran sudah sedikit bermasalah sebagaimana lazim warga seusia namun apa yang mengagumkan Husain menambah satu lagi portfolio baharu pada ‘resume’ apabila mengambil keputusan untuk menulis pengalaman hidupnya.

“Saya hanyalah lulusan Darjah 6 Sekolah Melayu Ketereh dan Sekolah Inggeris Islah semasa diterima berkhidmat sebagai warden penjara pada 1959 sebelum belajar kelas malam untuk mengambil Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada 1967 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 1971.

“Sejak kecil saya menumpang kasih dengan datuk dan nenek setelah ibu dan ayah berpisah, kehidupan kami susah tetapi arwah datuk saya, Ismail Awang Abdul Rahman rela kelaparan asalkan saya dapat makan,”katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Husain berkata, dia mendapat inspirasi untuk menulis setelah membaca buku biografi ‘Mencorak Destini’ oleh bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Dalam tempoh dua tahun ini, Husain yang berdarah keturunan Pakistan di sebelah ayahnya sudah menyiapkan dua buah buku iaitu ‘Husain Beladar - Perkhidmatan Penjara’ setebal 386 muka surat yang telahpun dipasarkan dan buku ‘Terbinanya Sebuah Penjara di Negeri Terengganu Darul Iman’ yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Antara pencapaian besar dalam kerjayanya adalah ketika diminta Jabatan Penjara mengetuai projek pembinaan Penjara Marang bermula tahun 1981 di atas tapak seluas 80 hektar dan beliau bersama para pegawai lain berjaya melakukannya dengan kos RM18 juta sahaja berbanding peruntukan RM33 juta hasil gabungan tenaga dan kemahiran kira-kira 300 banduan. - UTUSAN ONLINE