Malah bengkel yang kini dikenali sebagai Studio STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan serta model mainan serta peralatan untuk mata pelajaran tersebut.

Semua ini hasil inisiatif Guru Kanan Sains dan Matematik, Nor Azizah Md. Nordin bersama beberapa rakannya yang mengeluarkan modal sendiri kira-kira RM2,000 untuk mengubah wajah ruang itu menjadi sebuah bilik yang amat digemari oleh para pelajar.

Nor Azizah memberitahu, tiada peruntukan khas untuk membiayai pelaksanaan projek terbabit namun itu bukan halangan besar bagi seorang ‘pejuang STEM’ seperti beliau.

“Demi memastikan projek ini terlaksana, saya sanggup berhabis termasuk mengeluarkan duit poket sendiri. Selain itu, Alhamdulillah, pengetua dan rakan-rakan guru lain turut menghulurkan sumbangan serta sokongan.

“Usaha membaik pulih dan menghias semula bengkel terbiar itu dibantu oleh pelajar saya ketika di luar waktu belajar dan kami mengambil masa dua bulan iaitu Oktober hingga Disember 2018 untuk menyiapkannya dengan kos sekitar RM2,000,” katanya ketika ditemui di sekolah tersebut di sini baru-baru ini.

Katanya, semua itu tidak menjadi kenyataan sekiranya tidak mendapat sokongan penuh daripada Pengetua sekolah tersebut, Norriha Abd. Rahman yang tidak putus-putus memberikan dorongan.

Ujarnya, Studio Stem itu kini bukan sahaja menjadi hab kepada kesemua inovasi pengajaran dan pembelajaran yang pernah diperkenalkan beliau sepanjang bergelar pendidik, malah menjadi pusat aktiviti kokurikulum pelajar SMK Kemumin.

“Apabila sesuatu topik dalam subjek Fizik memerlukan penerangan terperinci, saya akan bawa pelajar ke studio ini dan mereka boleh tengok sendiri contoh aplikasi menerusi tayangan video atau model-model yang ditempatkan di situ.

“Selain membantu proses pendidikan STEM, studio ini juga dijadikan pusat aktiviti pelajar membuat persiapan untuk menjayakan pelbagai program sekolah termasuk hari sukan baru-baru ini. Malah pasukan nasyid sekolah juga berlatih di dalam studio ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE