Hasil cetusan idea Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika merasmikan pesta Tanglung di lokasi sama pada tahun 2013, pintu gerbang yang dianggarkan bernilai RM600,000 itu dilancarkan oleh Menteri Besar, Ahmad Yakob malam tadi.


Ahmad berkata, pintu gerbang tersebut secara signifikannya membuktikan keharmonian hidup masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.


Katanya, pintu gerbang tersebut yang bersempena dengan nama Laksamana Cheng Ho adalah seorang tokoh hebat terawal datang ke rantau ini dan dikagumi seluruh masyarakat.


“Saya sangat bersyukur dan gembira dengan kewujudan pintu gerbang ini. Saya harap komuniti Tiong Hwa dan seluruh masyarakat pelbagai kaum dapat menikmat hidup dalam suasana aman dan damai di negeri ini.


“Saya juga berharap kerjasama seluruh masyarakat di Kota Bharu terus erat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian tersebut.


Yang turut hadir, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Perpaduan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan, Datuk Anuar Tan Abdullah dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Datuk Zamri Ismail.


Pelbagai acara menarik disajikan pada majlis perasmian yang dihadiri hampir 5,000 masyarakat pelbagai kaum seperti persembahan gendang Cina, orkestra muzik Cina, tarian naga dan banyak lagi.- UTUSAN ONLINE