Pameran Kartun Lintas Negara itu adalah ilham dan anjuran tokoh kartunis, Rosidi Semail, 70, yang lebih dikenali dengan nama Rossem.

Rossem yang juga penerima Tokoh Kartunis 2017 berkata, tujuan utama pameran berkenaan adalah untuk merapatkan hubungan antara kartunis seluruh dunia di samping memberi peluang karyawan dan masyarakat tempatan memahami cara kartunis luar menyampaikan mesej mereka.

“Karya yang dipamer adalah hasil lukisan kartunis dari sekurang-kurangnya 28 huah negara dengan penyertaan tertinggi adalah dari China apabila 22 kartunis negera itu telah menghantar karya mereka.

“Ini adalah kali pertama pameran sebegini diadakan di negara kita dan dibuka secara percuma kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui Utusan Online di BKR di sini hari ini.

Rossem memberitahu, beliau mendapat kerjasama rakan-rakan kartunis terkenal dari Indonesia antaranya Darminto M.Sudarmo, Jitet Kustana dan Abdul Arif untuk membuat hebahan kepada komuniti kartunis dunia dalam tempoh sebulan lalu.

Katanya, kerjasama baik juga diperoleh daripada Ketua Editor Cartoon Home Network International yang berpengkalan di Norway, Fadi Abou Hassan yang mempromosikannya sehingga ramai kartunis dari pelbagai negara seperti Azerbaijan, Bulgaria, Brazil,Turki, Iran, England dan Poland turut menghantar karya mereka.

“Kartunis terlibat banyak menghantar karya bertema kemanusiaan, alam sekitar dan pendidikan,” katanya.

Rossem berkata, beliau mengalu-alukan jika ada pihak lagi yang ingin memberi sumbangan untuk membantu melancarkan lagi perjalanan pameran itu dan mereka boleh menghubunginya di talian 0189146092. -UTUSAN ONLINE