Kanak-kanak yang dikenali sebagai Ayu itu berkata, dia ada menerima kiriman whatsApp daripada isteri kedua suaminya, Siti Noor Azila Zulkifle, 34, yang mahukan dia menjaga anaknya seperti anak sendiri, semalam.

Katanya, dia gembira sekiranya hubungannya bersama suami, Che Abdul Karim Che Hamid, 41, direstui dan diterima oleh madunya.

“Isteri kedua ‘abe’ (suami) ada mesej semalam. Dia suruh jaga anak. Anaknya yang paling kecil bernama Mira, tiga tahun.

“Dia juga bertanya kepada saya benarkah saya sayangkan abe, saya jawab ya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ayu berkata, madu keduanya yang bertanggungjawab berkongsi gambar pernikahan dia bersama suami juga dilihat tidak lagi marah-marah dan mengecamnya secara keterlaluan.

Bagaimanapun Siti Noor Azila yang menggunakan nama Effa Zulkifle di akaun Facebooknya membuat hantaran kira-kira pukul 4 pagi ini yang menegaskan bahawa isu mereka telah selesai dan dia serta isteri pertama akan ‘mengundurkan diri’.

“Alhamdulillah kesimpulan isu ini semakin tamat. Keputusan saya dan isteri pertama jika Ayu masih menjadi pilihannya, kami berdua akan undur diri.

“Kami boleh jaga anak.. tak ada masalah langsung. Daripada jiwa anak-anak sengsara melihat kawan mereka sendiri menjadi mak mereka. Kami sebulat suara dan nekad dengan keputusan kami,” tulisnya.

Terdahulu Siti Noor Azila memohon kepada netizen supaya tidak menyalahkan kanak-kanak tersebut. - UTUSAN ONLINE