Pengerusi Ahli Panel Pelawat (APP) klinik itu, Muhammad Manan berkata, program berkhatan beramai-ramai sempena musim cuti sekolah melibatkan kanak-kanak berusia lapan hingga 11 tahun.

Menurutnya, kerjasama doktor dan Pembantu Perubatan klinik itu membolehkan penduduk Kampung Gong Serapat; Kampung Jerat Semata; Kampung Temila; Kampung Gong Kua; Gong Kubur; Kampung Kelubi dan penduduk bandar ini menyempurnakan tanggungjawab yang dituntut agama Islam.

KANAK-KANAK menunggu giliran untuk proses berkhatan di Klinik Kesihatan Pasir Puteh, Kelantan, hari

KANAK-KANAK menunggu giliran untuk proses berkhatan di Klinik Kesihatan Pasir Puteh, Kelantan, hari ini. - UTUSAN ONLINE

“Ini adalah program tahunan APP Klinik Kesihatan Pasir Puteh yang berusaha mencari dana untuk membantu keluarga daif menampung bayaran berkhatan.

“Pada tahun lepas kita melaksana program ini dengan melibatkan 67 kanak-kanak. Untuk tahun hadapan, kami mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk berkongsi usaha membantu keluarga miskin mengkhatankan anak-anak mereka,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Muhammad berkata, program bermula seawal pukul 8 pagi itu turut mendedahkan kepada komuniti setempat tentang fungsi klinik kesihatan yang menyediakan perkhidmatan rawatan moden berkhatan yang lebih selamat.

“Sepanjang proses berkhatan diuruskan kakitangan yang pakar dalam bidang itu dan turut diselia oleh beberapa orang doktor,” katanya.

Sebelum proses berkhatan, kanak-kanak terbabit disajikan dengan pertunjukan seni silat gayong selain dapat mengeratkan hubungan di antara penduduk setempat dengan APP dan kakitangan klinik berkenaan. - UTUSAN ONLINE