Pengerusi VIC, Muhammad Afiq Aiman Sukry berkata, ambulan itu amat diperlukan untuk membawa golongan pesakit kronik miskin mendapatkan rawatan berkala di hospital.

Menurutnya, kos sewaan ambulan untuk membawa pesakit kronik ke hospital amat tinggi kerana berdasarkan kiraan jarak perjalanan dan tempoh waktu perkhidmatan yang diperlukan.

"Ini berdasarkan kepada misi bantuan yang telah kita buat sebelum ini yang menelan kos tinggi. Ia lebih menjimatkan sekiranya VIC memiliki sendiri pengangkutan itu yang diwakafkan oleh orang ramai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Korban dan Jamuan Makan Bersama Anak-anak Yatim serta asnaf di perkarangan rumahnya di Selising, dekat sini hari ini.

Muhammad Afiq berkata, VIC telah menubuhkan tabung khas sumbangan bagi mencapai tujuan itu dan mengalu-alukan syarikat korporat yang sudi membantu.

"Kebanyakan anggota VIC terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam pengurusan kesihatan. Ahli kami terdiri daripada Pembantu Pegawai Perubatan dan jururawat yang meluangkan waktu senggang untuk membantu golongan miskin.

"Kami tidak meletakkan berapa nilai yang perlu diwakafkan. Orang ramai boleh menyumbang seikhlas hati walau hanya RM1. Setakat ini masih jauh untuk kami mencapai sasaran," katanya.

Sebarang sumbangan boleh disalurkan kepada akaun rasmi kelab VIC menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) - 0300241100004797.

Setiap sumbangan perlu dimaklumkan menerusi www.wasap.my/60199344077/WakafAmbulance bagi membolehkan pengurusan VIC menguruskan amanah rakyat secara telus. - UTUSAN ONLINE