Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail berkata, kerjasama yang dijalankan menerusi Jabatan Oftalmologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) itu bagi menyediakan penjagaan kesihatan, pendidikan dan sosial sekali gus menjadikan Kampus Kesihatan USM pusat rujukan golongan ini.

Dr. Asma berkata, pihak USM sentiasa memperjuangkan nasib golongan OKU dan perkara itu telah pun dilakukan dalam tempoh 10 tahun ini khususnya selepas penubuhan Kluster OKU di mana bantuan bukan sahaja melalui rawatan bahkan latihan supaya mereka dapat hidup berdikari.

“Kita menawarkan Modul Latihan Pekerjaan OKU Intelek di Kampus Kubang Kerian sejak 2012 dan Pulau Pinang bermula 2017, sehingga kini sebanyak 60 orang telah bergraduasi dengan kesemuanya sudah mendapat kerja.

“Malah salah seorangnya berjaya beroleh geran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengusahakan nurseri tanaman dan kini mempunyai pendapatan RM3,000 sebulan selain menawarkan pekerjaan kepada OKU lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani MoU antara USM dan SO Malaysia di Dewan Persidangan, Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof. Dr Adam Husein.

USM diwakili Dr. Asma manakala SO Malaysia diwakili Pengerusinya Nur Azida Daud menandatangani MoU berkenaan sambil disaksikan Timbalan Dekan Libatsama Industri -Komuniti dan Pelajar, PPSP USM, Prof. Dr Wan Hazabbah Wan Hitam serta Setiausaha Kehormat SO Malaysia, Dalila Daud.

SO Malaysia merupakan salah satu daripada lebih 200 cawangan SO yang terdapat di seluruh dunia dan beribu pejabat di Washington D.C. Amerika Syarikat (AS). Agensi itu menjalankan aktiviti sukan golongan OKU intelek peringkat akar umbi.

Antara pencapaian SO Malaysia adalah kejayaan membawa kontinjen negara yang terdiri daripada 28 atlet OKU intelek ke kejohanan Special Olympics World Games 2019 di Abu Dhabi, bulan lalu.

Kontinjen negara berjaya meraih lima pingat emas, enam pingat perak dan tiga pingat gangsa dalam kejohanan tersebut. - UTUSAN ONLINE