Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Prof. Dr. Aldrin Abdullah berkata, bermula April lalu, tenaga pengajar dari Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (PBLT) Kampus Kesihatan USM dihantar untuk mengajar kursus Bahasa Melayu secara percuma kepada pelajar jurusan Bahasa Melayu seramai 31 orang di Fakulti Seni Liberal di universiti yang berpusat di Narathiwat, Thailand itu.

 Beliau berkata, program itu adalah hasil daripada memorandum persefahaman antara PNU dengan PBLT USM yang ditandatangani pada 18 Ogos 2015 yang menumpukan agenda seperti pertukaran pelajar dan pensyarah, usaha penyelidikan dan perubatan serta kerjasama akademik.

 "Kursus Bahasa Melayu ini dijalankan selama lapan jam seminggu untuk tempoh empat bulan atau satu semester di Fakulti Seni Liberal PNU dan akan diteruskan lagi pada semester berikutnya.

 "Ini adalah sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) USM untuk membantu PNU sebagai sebuah universiti baharu, pelajar di sana sangat berminat untuk mempelajari dan menguasai Bahasa Melayu baku biarpun dalam keadaan agak terbatas.

 "Program ini memberi manfaat kepada pelajar yang memerlukan bimbingan akademik khususnya dalam bidang bahasa, budaya dan sastera Melayu selain memberi pendedahan kepada mereka tentang peluang melanjutkan pengajian peringkat tinggi di USM," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Lawatan Sambil Belajar pelajar jurusan Bahasa Melayu dari PNU ke Kampus Kesihatan USM di sini hari ini.

 Seramai 26 pelajar dan lima pensyarah PNU mengikuti lawatan tiga hari bermula Jumaat lalu yang diadakan dengan kerjasama Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (Peradaban) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur.

 Yang turut hadir adalah Timbalan Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof. Dr. Adam Husein; Presiden Peradaban, Datuk A.Aziz Deraman; Timbalan Pengarah DBP Wilayah Timur, Ikram Fadly Hussin dan Ketua Jabatan Jurusan Bahasa Melayu PNU, Shahidin Nitiphak.

 Sementara itu, Pengarah Program, Mohd Shah Imran Abdullah berkata, kerjasama dengan PNU itu adalah usaha terkini USM membantu meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu di kalangan masyarakat Islam di Selatan Thailand selain meningkatkan kesedaran mengenai potensi Bahasa Melayu di rantau Asia Tenggara.

Beliau yang juga pensyarah PBLT yang sudah empat bulan mengajar Bahasa Melayu di PNU berkata, usaha itu penting supaya pelajar jurusan Bahasa Melayu di sana tidak membataskan kerjaya selepas tamat pengajian setakat menjadi guru, ustaz atau ustazah sahaja.

 "Sebelum ini kita juga bekerjasama dengan Prince Of Songkhla University (PSU) yang sudah lama mempunyai program Bahasa Melayu dan kini kita membantu PNU pula sebagai sebuah universiti baharu.

 "Ada dua juta penduduk Muslim Thailand tetapi menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan di rumah sahaja selain segelintir yang mendapat peluang belajar Bahasa Melayu di universiti.

 "Kini hampir semua lapan universiti utama di Selatan Thailand menawarkan program Bahasa Melayu, kita mahu pelajar yang tamat pengajian nanti meneruskan lagi hingga ke peringkat sarjana serta memasuki bidang kerjaya lain seperti penyiaran, penerbitan dan penulisan," katanya. - UTUSAN ONLINE