Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri,

Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, setakat ini 90 peratus masyarakat Siam Kelantan memberikan sokongan padu kepada parti itu dan Barisan Nasional (BN) berpandukan PRU dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor sebelum ini.

Menurutnya, jumlah tersebut merupakan satu angka yang tinggi dan belum ada sesebuah kaum memberikan sokongan padu seperti itu kepada BN.

“UMNO dan BN Kelantan perlu terus bekerja lebih keras bagi memastikan baki 10 peratus itu bersama dengan kita pada PRU 14 nanti, sekaligus memberikan sokongan padu kepada parti.

“Saya difahamkan, hampir 6,000 masyarakat Siam di Kelantan dan mojoritinya dari Tumpat serta beberapa jajahan lain termasuklah Bachok,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sawadde Perdana Menteri 2018 di Wat Sukhomtharam, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Mohd. Rosdi Ab. Aziz.

Mustapa memberitahu, pihaknya tetap optimis sokongan itu tidak akan berganjak sama sekali.

Katanya, UMNO dan BN akan turun padang untuk bertemu dengan mereka bagi memastikan sokongan bertambah kuat.-UTUSAN ONLINE