Empat buku yang berjudul Mencanangkan Mimpi, Semerbak, Terus Melangkah dan Ikon Perpaduan Melalui Kesusasteraan itu telah dilancarkan secara rasmi oleh Siew Tin di Dewan Keusahawanan UMK Kampus Kota di sini hari ini.

Swee Tin berkata, penerbitan empat buah buku tersebut telah menjadikan keseluruhan 85 buah buku yang dihasilkan olehnya secara persendirian sejak mula menulis pada tahun 70-an.

“Keempat-empat buah buku ini mempunyai keistimewaan ter­sendiri kerana ditulis secara santai serta bersahaja supaya dapat dibaca oleh semua lapisan masyarakat.

“Selain boleh dijadikan bahan untuk penyelidikan, buku ini ju­ga memberi pendedahan kepada pembaca bagaimana proses berkarya, sekali gus membantu penulis baharu menghasilkan sebuah buku,” katanya.

Swee Tin berkata, selain UMK, beliau turut menjalinkan kerja­sama dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) menerbitkan buku berjudul Dikir Barat Seni Hiburan Rakyat.

“Buku ­Dikir Barat Seni Hiburan Rakyat adalah satu-satunya buku mengenai Dikir Barat yang ada di negara ini,” katanya.

Sementara itu Pustakawan Kanan Penerbit UMK, Amirul Firdaus Zilah berkata, penerbitan buku tersebut akan membuka peluang kepada pelajar mendekatkan diri dengan sasterawan.

“Kita memberi pilihan kepada pelajar supaya mereka dapat mengkaji bagaimana penulisan kreatif dilakukan oleh seorang penulis.

“Dari situ, mereka akan mendapat inspirasi dan buku-buku ini juga boleh dijadikan rujukan yang paling sahih kerana ke­banyakan novel sekarang meng­gu­nakan bahasa tunggang-langgang,”­ katanya.

Katanya, untuk permulaan, pihaknya telah mencetak sebanyak 300 buah buku pada harga RM60 hingga RM90 sebuah.

“Pakej promosi pula kita tawarkan pada harga RM298 untuk empat buah buku,” katanya.