Malah makanan tersebut menjadi punca pendapatan sam­pingan kepada sesetengah ma­syarakat di negeri ini bagi me­nampung perbelanjaan ha­rian keluarga.

Seorang peniaga Zam Zulfadli Kamarulzaman, 22, berkata keluarganya menjual pelbagai jenis ubi pada musim tengkujuh sejak 10 tahun lalu kerana ia mendapat permintaan tinggi daripada masyarakat untuk dijadikan makanan sampingan.

“Setiap hari saya mampu memperoleh hasil jualan RM200 sehingga RM300,” katanya ketika ditemui Bernama di gerainya di Kampung Paloh di sini, hari ini.

Tinjauan di kampung tersebut yang terletak berdekatan Jalan Tanah Merah-Pasir Mas, mendapati hampir 20 gerai menjual pelbagai jenis ubi de­ngan harga serendah RM3 sehingga RM6 sekilogram selain turut menjual jagung dengan harga RM1 setongkol.

Zam Zulfadli berkata ubi yang paling mendapat sambutan ialah ubi kayu kerana ia sinonim dengan musim tengkujuh dan biasa direbus serta dimakan dengan kelapa.

“Selain ubi turut mendapat sambutan pada musim ini ialah labu madu untuk dijadikan hidangan tambahan pada masakan selain sebagai pencuci mulut.

“Bekalan pelbagai jenis ubi ini saya peroleh daripada penduduk setempat dan tanam sendiri di tanah seluas 1 ekar terletak di belakang rumah saya,” katanya.

Peniaga jagung Kamariah Ismail, 53, berkata jualan jagungnya turut mendapat sambutan pada musim ini berbanding pada hari kebiasaan.

“Pada musim ini saya mampu menjual sebanyak 100 sehingga 200 tongkol jagung sehari de­ngan harga RM1 berbanding hari biasa yang hanya mampu jual sebanyak 50 tongkol jagung.

Sementara itu pembekal pelbagai jenis ubi, Ismail Yusoff, 46, berkata beliau dapat menambah pendapatan untuk menjual ubi ketika musim ini kerana pada hari biasa beliau menumpukan kepada kerja me­noreh getah. – BERNAMA