Pengarahnya, Khalid Tik berkata, perkara itu mungkin menjadi isu di tempat lain, namun sudah menjadi budaya masyarakat di sini selain peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mensyaratkan tulisan jawi pada papan tanda.

“Tulisan jawi sepatutnya tiada masalah kerana sesiapa pun boleh guna tulisan jawi yang pentingnya jangan gunakan ayat suci al-Quran.

“Setakat ini kedai makan Cina, India dan Thailand yang kita pergi tidak ada menyalahgunakan (teks) ayat al-Quran untuk menarik pelanggan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Dalam pada itu, Khalid berkata, pihaknya sudah memeriksa 41 restoran dan kedai menjual makanan segera dalam tempoh se­minggu ini bermula 13 Januari lalu bagi memastikan pematuhan kepada penandaan halal termasuklah kopitiam milik individu berketurunan Cina, kedai masakan Thailand dan restoran mamak.

Katanya, operasi yang turut disertai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan dan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) itu meliputi 32 premis beragama Islam dan sembilan premis lagi dimiliki bukan Islam.

“Operasi akan terus dipergiat ke atas restoran dan premis makanan sebagaimana arahan ibu pejabat, kita tahu kalau premis meletakkan lambang atau nama Islam seperti masjid biasanya memang orang akan masuk.

“Kita harap perkara ini tidak dilakukan pemilik bukan Islam sekalipun premis mereka mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), jika ada kita nasihatkan supaya segera menurunkan lambang sedemikian,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, kira-kira 50 premis diperiksa dan enam daripadanya dikenakan tindakan antaranya kerana tamat tempoh sijil halal dan juga kerana mempamerkan logo halal padahal tidak pernah memohon perakuan halal.