Selaku tuan rumah dan penganjur, para pemain GABP FC mempamerkan semangat luar biasa dan memanfaatkan kelebihan itu dalam perlawanan akhir menentang Tok Janggut FC dan menewaskan pihak lawan dengan jaringan 1-0.

Dengan kemenangan itu, GABP FC membawa pulang wang tunai RM2,000, pingat dan piala manakala Tok Janggut FC menerima wang tunai RM1,000, pingat dan piala.

Pengarah program, Syukri Ibrahim berkata, sebanyak lapan pasukan menyertai kejohanan tersebut termasuk satu pasukan veteran dari Pahang.

Katanya, kejohanan itu dianjurkan bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim sesama peserta selain membentuk kerjasama erat dalam kalangan pemain.

“Selain itu, pertandingan itu juga boleh dijadikan sebagai medan para pemain yang merupakan golongan veteran meningkatkan kesihatan dan kecergasan masing-masing.

“Kejohanan kali ini turut menghimpunkan bekas-bekas pemain handalan negara termasuk Zulkifli Hussien, Adanan Musa, Hamdi Ismail , Azman Mohamed dan ramai lagi,” katanya ketika ditemui Utusan Online.

Menurut Syukri, penyertaan bekas pemain kebangsaan dalam kejohanan itu secara tidak langsung mengimbau semula era kegemilangan bola sepak Malaysia supaya tidak luput daripada ingatan para peminat sukan tersebut. - UTUSAN ONLINE