Bagaimanapun, itu tidak melemahkan semangat Mohd. Zin, 58, apabila nekad menanam kira-kira 60 batang pokok kurma di atas ladangnya yang seluas 0.2 hektar.

Kini pokok kurmanya bukan sahaja tumbuh subur malah tahun ini, ia berbuah lebat selain mula menghasilkan 'tuak' atau air nira, sekali gus menghentikan cakap-cakap negatif orang ramai.

Menurut Mohd. Zin yang mesra dipanggil Haji Zin, pada mulanya dia tidak tahu pokok kurma juga mempunyai air tuaknya sendiri.

Dia mendapat idea selepas kenalan dari Bangladesh dan Pakistan memberitahu pokok tersebut boleh mengeluarkan nira namun kaedah pengambilannya berbeza dengan nira kelapa.

“Di negara Arab mereka tidak buat tuak kurma, kebiasaannya mereka jual buahnya sahaja. Namun di Bangladesh dan Pakistan, tuak kurma amat popular dan mendapat permintaan tinggi.

“Jadi saya mempelajari kaedah untuk mendapatkan tuak kurma. Berbeza dengan tuak kelapa yang diambil di mayangnya, tuak kurma diambil dengan mengikis di bahagian atas batang pokoknya,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Zin, tuak kurma mempunyai rasa lebih berlemak berbanding tuak kelapa.

“Sebatang pokok boleh mengeluarkan nira sehingga seliter sete­ngah. Cuma saya tidak menetapkan harga dan penduduk boleh beli dengan harga seikhlas hati.

“Selain rasanya yang enak, saya difahamkan kandungan tuak kurma ini tiada kolesterol,” katanya.

Sebaik sahaja berita mengenai tuak kurma itu tersebar, Mohd. Zin me­ngakui dia mendapat tempahan yang banyak daripada penduduk sekitar.

Pokok kurma atau nama sains­tifiknya phoenix dactylifera ialah sejenis pokok palma dan buahnya merupakan sajian utama ketika berbuka dan bersahur.