Pelajar tingkatan lima Maahad Yaakubiah, Nipah, Bachok ini adalah salah seorang daripada 45 orang Ahli Belia yang dilantik mewakili kawasan masing-masing dalam Sidang DUN Belia negeri ini.

Che Muhammad Asif Aisamuddin yang mewakili DUN Tawang berkata, sudah menjadi perancangan masa hadapannya untuk bergelar Ahli Parlimen kerana berpendapat ini adalah wadah paling berkesan membawa suara rakyat dan mesej Islam dalam pentadbiran negara.

“Saya minat ikuti persidangan Dewan Rakyat dan selalu menonton melalui ‘Youtube’ ucapan Ahli Parlimen yang bersidang.

“Antara gaya ucapan saya kagum adalah daripada Ahli Parlimen Bachok, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz kerana tidak meninggikan suara semasa berhujah dan sentiasa diselit dengan pesanan dari ayat-ayat al Quran.

“Kalau saya berpeluang nyatakan pandangan dalam dewan, saya mahu guru-guru punya keberanian mengajar dengan bebas contohnya subjek sejarah tanpa terikat dengan sukatan buku teks,” katanya ketika ditemui selepas majlis pembukaan Persidangan Penggal Pertama DUN Belia Kelantan anjuran Urus Setia Belia dan Sukan (U-Bes) dan Pejabat Dewan Negeri di sini semalam.

Kesemua Ahli Belia kecuali yang mewakili kawasan Pasir Tumboh dan Gual Periok hadir mengangkat sumpah di Dewan Bunga Raya, Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di sini yang dahulunya merupakan tempat asal Sidang DUN Kelantan berlangsung.

Persidangan DUN Belia yang julung-julung kali dianjurkan itu melantik Ahli Belia berusia 35 tahun ke bawah yang dipilih daripada program Generasi Sejahtera (Gentera) mewakili kawasan masing-masing bagi tempoh dua tahun untuk setiap penggal.

Sementara itu, Nur Anis Shahirah Abdullah, 17, yang merupakan Ahli Belia Nenggiri pula berkata, dia berharap dapat menimba ilmu dan pengalaman daripada ‘wakil rakyat’ yang lebih senior dalam dewan.

Pelajar dari Maahad Muhammadi Gua Musang ini berkata, penglibatan dalam Gentera sejak tahun lalu memberinya peluang terlibat dalam pengucapan awam dan kini diamanahkan menjadi wakil dalam Sidang DUN Belia pula.

“Saya ingin buktikan kepada ibu bapa yang sebelum ini tidak percaya saya boleh pergi jauh dalam bidang syarahan bahawa saya boleh lakukannya tanpa mengabaikan pelajaran.

“Tahun ini saya mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan menyasarkan mendapat 10A, sebelum ini saya dapat 9 Mumtaz dalam peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU),”katanya. - UTUSAN ONLINE