Biarpun mempunyai rumah baharu pemberian kerajaan Pusat di Jalan Gua Musang-Kuala Betis, di sini, warga emas mesra dipanggil Mok itu memilih hidup seorang diri di sebuah rumah daif dan usang peninggalan arwah suami di Kampung Kundur di sini.


Mek Wook berkata, dia rela menghuni rumah usang yang serba kekurangan itu kerana berasa tidak selesa di rumah baharu, selain masih teringat kepada arwah suami yang membina sendiri mereka kira-kira 30 tahun lalu.


mek wook
Mek Wook Latiff memilih hidup menyendiri di sebuah rumah daif dan usang peninggalan suaminya di Kampung Kundur, Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN ONLINE/AIMUNI TUAN LAH

“Memang rumah ini dindingnya zink dan lantainya kayu yang hampir reput. Perabot dan katil pun tidak ada, namun Mok lebih selesa hidup di sini.


“Rumah baharu seperti ada ‘sesuatu’ menyebabkan Mok sukar tidur, bunyi kenderaan yang lalu-lalang juga bising. Jadi Mok kembali tinggal di rumah peninggalan suami yang berdekatan kawasan kebun kami,” katanya ketika ditemui Utusan Online, di sini hari ini.


Mek Wook berkata, sepanjang perkongsian hidup dia dengan suami, mereka dikurniakan empat orang anak namun dia enggan tinggal bersama anak-anak kerana khuatir menyusahkan mereka yang sudah berkeluarga dan bukan golongan senang. 


“Mok tidak kisah tiada kenderaan dan perlu berjalan kaki untuk membeli barang keperluan di kedai runcit berhampiran rumah,” katanya.


Mek wook
Mek Wook Latiff memilih hidup menyendiri di sebuah rumah daif dan usang peninggalan suaminya di Kampung Kundur, Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN ONLINE/AIMUNI TUAN LAH

Menurut Mek Wook, rumahnya menjadi semakin daif kerana dia sudah berusia dan tidak larat membaik pulih sendiri bahagian yang rosak, selain tidak mempunyai kewangan yang cukup untuk mengupah orang membaikinya.


“Mok kini bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan. Mok sudi terima jika ada siapa-siapa sudi bantu baiki rumah ini,” katanya.


Katanya, rumah tersebut pernah ditenggelami air Sungai Galas ketika banjir besar penghujung 2014 dan dia terpaksa berenang sementara menunggu anak dan cucu datang menyelamatkannya.


“Sehingga kini kesan selut air banjir masih ada sehingga kini di rumah ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE