Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, hal itu kerana kumpulan tersebut didapati melanggar peraturan iaitu menceroboh kawasan hutan simpan yang merupakan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Di samping itu katanya, tindak-tanduk kumpulan terbabit bukan sahaja menyukarkan pekerja pembalakan dan perladangan, malah menyusahkan penduduk Orang Asli sendiri yang perlu keluar masuk kawasan itu bagi mendapatkan keperluan harian.

“Apa-apa tindakan susulan bagi menyelesaikan isu sekatan ini telah diserahkan sepenuhnya kepada Jabatan Perhutanan Negeri yang telah membentuk satu jawatankuasa khas bagi menanganinya. Kalau polis mahu ambil tindakan, saya fikir itu munasabah.

“Mereka ini sudah lama langgar peraturan buat sekatan di kawasan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Mana boleh ceroboh begitu sahaja tanpa permit, inikan pula buat sekatan dan ganggu orang bekerja,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Difahamkan, pihak berkuasa iaitu Jabatan Perhutanan dan polis akan merobohkan sekali lagi halangan yang dibuat Orang Asli di tiga kawasan hutan simpan di Gua Musang, esok termasuk tindakan lebih tegas seperti menahan mereka.

Isu sekatan Orang Asli di pintu masuk tiga kawasan hutan simpan di Gua Musang dikatakan berlarutan sejak dua tahun lalu bagi membantah aktiviti pembalakan, perlombongan dan perladangan di situ.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar berkata, beliau tidak boleh mengesahkan sama ada satu operasi merobohkan sekatan akan dilakukan atau tidak kerana beliau belum menerima sebarang maklumat daripada Jabatan Perhutanan.

“Jawatankuasa khas yang kita tubuhkan diketuai Jabatan Perhutanan. Mereka akan buat laporan secara berkala tentang apa yang berlaku di sana, termasuk perkembangan kes, dan setakat ini, saya tidak dapat maklumat lagi mengenai tindakan baharu,” katanya. - UTUSAN ONLINE