KOTA BHARU 17 Jan. - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mengeluarkan sijil kelahiran bertaraf warganegara kepada tiga beradik di Lundang, di sini selepas perkahwinan ibu bapa mereka daftarkan secara sah mengikut undang-undang.
Pengarah JPN negeri, Asrehan Ab. Razak berkata, buat masa ini pihaknya hanya mengeluarkan sijil kelahiran bukan warganegara kepada tiga beradik berkenaan.
“Apabila semuanya selesai, barulah ketiga-tiga ini dapat didaftarkan secara sah sebagaimana taraf warganegara mengikut bapa mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sijil kelahiran bukan warganegara kepada tiga beradik berkenaan iaitu Nurul Syafiqah Mohd. Fauzi, 10; Nurul Natasha, 9, dan Mohd. Fitri Syawal, 7, di rumah mereka di sini semalam.
Yang turut hadir, Pengawai Perhubungan Awam Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan Hanuni Ibrahim.
Pada 13 Disember lalu Utusan Malaysia melaporkan masa depan tiga beradik berkemungkinan gelap kerana tiada pengenalan diri.
Masalah bermula sejak perkahwinan bapa Mohd. Fauzi, seorang penjual sayur yang kurang upaya dan ibu mereka Anita, Abdul Rahman, 41, orang Indonesia di Yala pada 2007.
Mohd. Fauzi gagal mendaftarkan perkahwinan kerana ketiadaan wang membayar denda RM400.
Berikutan itu, sijil kelahiran mereka tidak diproses biarpun dilahirkan di negeri ini.