Banyak perkara bermain di fikiran pemuda itu, terutama cita-cita menyambung pengajian di universiti mungkin musnah sedangkan itu impian utama sebelum dapat membalas jasa nenek yang memeliharanya sejak kecil selepas kematian kedua-dua orang tua.

“Doakan saya agar tidak buta kekal kerana impian untuk ke universiti belum tercapai,” luah pelajar tingkatan enam atas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cherang Ruku itu ketika ditemui hari ini.

Mohamad Lukman yang merupakan anak tunggal berkata, kesan penyakit saraf pada mata itu menyebabkan penglihatannya semakin hari semakin kabur sejak dua bulan lalu dan kini, dia terpaksa berhenti sekolah.

“Saya tidak lagi berupaya untuk berulang alik dari rumah di Kampung Projek LTN Air Tawar ke sekolah dengan menunggang motosikal sebagaimana biasa dan terpaksa mengambil keputusan berhenti sekolah.

“Takdir menyebabkan penglihatan saya semakin hari semakin kabur,” katanya kepada pemberita semasa menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim di kediamanny hari ini.

Mohamad Lukman berkata, sebelum ini dia menjalani rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

“Pada awalnya, saya menghidap penyakit resdung sejak di bangku sekolah rendah dan sering menggunakan ubat cecair titisan yang dibeli dari farmasi untuk melegakan radang mata.

“Menurut doktor, kesan steroid dari ubat itu menjadi punca saya menghidap glaukoma. Penyakit yang dialami ini mungkin tidak berlaku sekiranya saya lebih awal merujuk kepada doktor yang lebih pakar,” katanya.

Mohamad Lukman dibesarkan neneknya, Minah Ibrahim, 80 yang merupakan bekas penanam tembakau.

Pada Oktober depan, kata pemuda itu, dia perlu ke HUSM bagi menjalani rawatan susulan dan berharap segala urusan dipermudahkan.

“Saya hanya berharap penyakit yang dihidapi ini sembuh segera kerana saya mahu meneruskan pengajian walaupun saya tahu glaukoma boleh menyebabkan seseorang itu akan buta kekal.

“Saya tidak akan berputus asa dan sering mendoakan agar Allah SWT mengubah ketentuan-Nya dan saya juga perlukan doa rakan-rakan, guru dan orang ramai yang datang ziarah dan memberi kekuatan semangat,” katanya. - UTUSAN ONLINE