Program sehari itu diadakan di Masjid Mukim Permatang Sungkai dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) negeri.

Imam Muda Masjid Mukim Permatang Sungkai, Azmi Hussin berkata, program itu julung kali diadakan dan dijayakan oleh golongan warga emas dan masyarakat setempat mukim itu.

Menurutnya, sepanjang program itu, LPPKN diketuai Penolong Pengarah Kanannya, Haslinda Hassan bersama 11 pegawai mengadakan ceramah Terapi Minda serta pelbagai aktiviti sampingan lain.

“Antaranya adalah Latihan Dalam Komuniti dan pemeriksaan kesihatan percuma.

SEBAHAGIAN peserta yang menyertai Program Terapi Kesunyian di Masjid Mukim Permatang Sungkai, Pasir

SEBAHAGIAN peserta yang menyertai Program Terapi  Kesunyian di Masjid Mukim Permatang Sungkai, Pasir Puteh, Kelantan, hari ini. - UTUSAN ONLINE

“Selain itu, para peserta turut berpeluang berkongsi pandangan dan pengalaman masing-masing dalam kehidupan ketika sesi luahan hati,” katanya ketika ditemui Utusan Online, di sini hari ini.

Azmi dalam pada itu berkata, menerusi program tersebut, para peserta mendapat suntikan semangat selain memberi kesedaran kepada mereka untuk bersyukur, menikmati dan menghargai kesihatan dan pelbagai nikmat lain yang dianugerahkan Allah SWT.

Sementara itu, Haslinda berkata, pihaknya mengalu-alukan inisiatif penduduk setempat menganjurkan program pengurusan emosi seumpama itu yang dilihat mampu mengubati kesunyian golongan warga emas.

Menurutnya, modul disediakan pihaknya khusus untuk program itu mengajak peserta supaya mengamalkan nilai hidup positif, aktif dan produktif dalam kehidupan seharian.

“Ini termasuk memberi pendedahan gaya hidup sihat selain menerapkan suasana harmoni dan ceria agar warga emas sentiasa berasa diterima, disayangi dan tidak terasing daripada kehidupan luar,” katanya. - UTUSAN ONLINE