Baginda berdua tiba di rumah Hakim Danil Razali, 17, yang terlantar akibat ketumbuhan pada otak pada pukul 10.15 pagi dan meluangkan masa selama 45 minit bersama remaja tersebut serta keluarganya.

Tengku Muhammad Faris yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) turut mengurniakan sebuah kerusi roda dan wang tunai untuk pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Bharu itu.

Turut menyambut kedatangan baginda berdua ialah Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Bharu, Mohd. Rusli Abdullah.

Pada 12 April lalu, Utusan Malaysia melaporkan penderitaan Hakim Danial yang sedang bertarung melawan penyakit ketumbuhan pada otak sejak tiga tahun lalu dan memerlukan sumbangan bagi menampung kos rawatannya terutama kemoterapi.


Tengku Muhammad Fa-iz Petra (dua dari kanan) bersama Sofie Louise Johansson (kanan) menyerahkan kerusi roda serta wang tunai kepada ibu Hakim Danil Razali, Zainab Awang di Kampung Bechah Laut, Tumpat hari ini.

Anak bongsu daripada 12 beradik itu perlu menjalani rawatan tersebut sebanyak 30 kali bermula minggu depan dengan kos RM22,088 bagi memastikan sel-sel ketumbuhan tidak kembali aktif.

Selepas menziarahi Hakim Danial, baginda berdua berangkat melawat ke pusat mencanting batik, Ayu Fashion di kampung yang sama.

Mereka meluangkan masa hampir sejam untuk mencanting batik serta beramah mesra dengan penduduk setempat.


Sofie Louise Johansson mencanting batik di Ayu Fashion di Kampung Bechah Temalang, Tumpat hari ini.

Ini merupakan program pertama Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan isteri bersama dengan rakyat selepas diijab kabulkan di Istana Balai Besar, di sini malam Jumaat lalu - UTUSAN ONLINE