Yang Dipertua DPMMNK, Mohd. Ali Amin Ab. Latif berkata, projek yang mendapat kerjasama penuh kerajaan negeri serta agensi-agensi kerajaan Persekutuan itu memberi fokus kepada perladangan tiga tanaman utama iaitu nanas, padi dan kenaf selain ternakan lembu tenusu.

Beliau berkata, pembukaan ladang tersebut yang akan turut menggunakan teknologi pertanian Thailand sebagai rujukan dijangka memberi manfaat kepada 40 hingga 50 usahawan yang bakal terlibat.

“Kita bekerjasama dengan pelbagai agensi antaranya Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN); Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) serta Tourism Malaysia.

“Kita mahu menjadikan ladang ini sebagai tempat tarikan pelancong luar dan tempatan melihat bagaimana proses menanam dilakukan, bagaimana nak keluarkan susu lembu, malah kita akan ada kilang memproses kenaf.

“Sekarang ini pelancong tidak ada tempat menarik untuk dilawati bila datang ke Kelantan dan rakyat negeri ini juga tiada tempat untuk habiskan cuti sekolah dengan anak-anak, tempat ini nanti boleh menjadi seperti pusat perkhemahan cuti musim panas di luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelepasan Misi Dagang Jelajah Dewan80 Road To Aran di pekarangan Hotel Jewels di sini hari ini.

Majlis itu telah disempurnakan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hanifa Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dan Pengerusi KADA, Datuk Husam Musa.

Sementara itu, Mohd Ali Amin berkata, projek taman pertanian yang membabitkan pelaburan awal RM10 juta itu merangkumi bantuan agensi kerajaan dan suntikan dana DPMMNK sendiri.

“Setakat ini fasa pertama projek membabitkan tanah terbiar seluas 81 hektar kini sedang dalam proses rundingan sewa dengan para pemilik sebelum penanaman bermula Jun ini,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE