Ketua Penolong Pengarah Perhubungan Awam MPKB-BRI, Azman Mohd. Daham berkata, kegiatan tersebut menyebabkan pendapatan MPKB-BRI terjejas kira-kira 50 peratus selain hampir 1,500 meter letak kereta didapati telah rosak.

“MPKB-BRI mengutip kira-kira RM200,000 sebulan hasil daripada meter letak kereta. Bagaimanapun pada Januari lalu pendapatan MPKB merosot kira-kira RM100,000, iaitu berkurangan hampir 50 peratus.

“Daripada 6,000 meter letak kereta yang ada di seluruh kawasan seliaan kita, kira-kira 1,500 unit didapati dirosakkan dengan sengaja manakala wang di dalam mesin itu didapati hilang,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, pihaknya percaya kegiatan tersebut dilakukan secara berkumpulan tanpa mengira kawasan termasuk lokasi tum­puan awam terutama di pekara­ngan pasar besar Mydin di Kubang Kerian dan Taman Bendahara di Pengkalan Chepa.

“Pihak MPKB-BRI melaporkan perkara ini kepada polis dan kita harap pelaku vandalisme serta pencuri ini segera ditangkap,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Azman memberitahu, MPKB-BRI memperkenalkan penggunaan tiket atau kupon kepada orang ramai sebagai alternatif kepada meter letak kereta yang dikatakan sering rosak dan menyusahkan pengguna.

Katanya, tiket berkenaan yang dijual dalam bentuk buku boleh digunakan di semua petak letak kereta dan boleh didapati pada harga RM6 dan RM8.

“Tiket ini perlu digores di lima bahagian iaitu tahun, bulan, hari, jam dan minit pada waktu penggunaan petak letak kereta dan perlu dipamer di atas papan pemuka kereta.

“Tiket ini boleh dibeli daripada semua pegawai penguat kuasa meter letak kereta dan juga ejen dilantik MPKB-BRI. Tiket juga boleh dibeli di pejabat letak kereta MPKB-BRI di Padang Perdana, kaunter MPKB-BRI dan UTC KB Mall,” katanya.