Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, sepanjang Op Selamat 12, sebanyak empat kes kemalangan maut membabitkan enam mangsa dicatatkan di jajahan itu.

Menurutnya, paling menyedihkan apabila tiga sekeluarga maut di Kilometer 55, Jalan Gua Musang pada Isnin lalu ketika umat Islam meraikan Hari Raya Aidilfitri.

“Semalam, kita mengadakan operasi bermula pukul 7 pagi selama 11 jam di Kilometer 49, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dan telah mengeluarkan 324 saman.

“Antara kesalahan yang direkodkan ialah 51 saman memotong garisan berkembar, 234 saman memandu melebihi had laju dan 39 saman bagi lain-lain ke­salahan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd. Taufik menambah, operasi itu diketuai Pegawai Operasi Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, Inspektor Azman A. Radzi bersama enam anggota.

Jelasnya, polis akan terus menjalankan operasi di kawasan lain yang kerap berlaku kema­langan seperti di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis; Gua Musang-Jeli dan Gua Musang-Lojing.

“Kita berharap pemandu le­bih bersabar supaya tidak berlaku kemalangan yang meragut lebih banyak nyawa.

“Kebanyakan kes kemalangan yang berlaku di Gua Musang selalunya melibatkan kecederaan kepala dan mangsa tersepit di dalam kenderaan,” katanya.