Guru Besar SK Datu’ Hashim, Hamidah Che Abdul Hamid berkata, selepas mengetahui perkara itu, pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mencari jalan untuk memujuk murid itu, Muhammad Irfan Abdullah, 12, supaya kembali ke sekolah.

Hari ini, beliau bersama guru serta wakil PIBG SK Datu’ Hashim melawat kanak-kanak itu yang tinggal bersama neneknya di Kampung Landak untuk bertanya khabar dan menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada keluarganya.

Beliau berkata, antara yang turut disumbangkan kepada Muhammad Irfan menerusi program Ziarah Cakna tersebut adalah pakaian sukan baharu bagi memujuk dan memberi semangat kepadanya untuk ke sekolah seperti biasa.

“Kita akan pantau lebih dekat perkembangan Muhammad Irfan supaya persekolahannya tidak terjejas, sebelum ini kita juga pernah beri bantuan buku kepadanya.

“Program Ziarah Cakna ini bukan sahaja menumpukan kepada murid susah atau tercicir sekolah sahaja tetapi kita juga melawat murid cemerlang supaya kejayaannya itu dapat dikongsi dengan murid lain dan membakar semangat mereka untuk turut cemerlang,” katanya.

Program itu turut disertai Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) diketuai Timbalan Presidennya, Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi yang menyerahkan sumbangan wang tunai kepada keluarga Muhammad Irfan.

Sementara itu, Muhammad Irfan berkata, dia dibela neneknya, Fatimah Said, 67, sejak berumur empat bulan setelah arwah ibunya bercerai dengan ayahnya.

Kata Muhammad Irfan, neneknya turut membela dua orang lagi adiknya, masing-masing berumur enam dan tiga tahun hasil perkongsian hidup bapa kandungnya dengan ibu tiri namun mereka kini juga telah bercerai.

“Kami tiga beradik bergantung kepada nenek untuk makan minum dan wang saku sekolah kerana ayah hanya bekerja kampung dan tidak mempunyai pendapatan tetap,” katanya.

Dalam pada itu, Fatimah pula memberitahu, dia menyara cucunya dengan wang pencen arwah suami sebanyak RM200 sebulan selain duit belanja dihulurkan anak sulung, Mohd. Nasarudin, 40, yang bekerja sebagai tukang kebun dan anak bongsu, Mohd. Syamsuri, 26, yang menjadi pembantu kedai makan.

“Setakat ini kami belum sampai lagi tahap tidak ada makanan dalam rumah walaupun hidup susah kerana sentiasa ada orang beri sedekah dan membantu keluarga kami,” katanya.

Fatimah yang kelihatan terharu turut berterima kasih kepada rombongan terdiri daripada guru dan wakil PIBG SK Datu’ Hashim serta Kemudi kerana sudi menziarahi mereka dan prihatin terhadap masa depan cucunya. - UTUSAN ONLINE