Guru Besar sekolah itu, Wan Abdul Aziz Wan Noh berkata, kira-kira 1,000 murid dan warga sekolah membawa kuih-muih untuk berkongsi kegembiraan menyambut Aidilfitri bersama seperti yang dianjurkan setiap tahun.

Beliau berkata, sambutan hari raya itu turut dimeriahkan dengan penampilan lebih 20 murid keturunan Siam yang memakai baju Melayu dan pakaian tradisi mereka membuktikan keserasian serta kebersamaan budaya.

“Pada tahun lalu sambutan hari raya yang juga sebahagian daripada aktiviti pembelajaran luar bilik darjah itu dianjurkan secara terancang berasaskan objektif memantapkan integrasi dalam kalangan murid Melayu, Cina, Siam, Myanmar, Bangladesh dan warga Pakistan yang turut belajar di sekolah ini.

“Sokongan ibu bapa yang sanggup menyediakan pelbagai jenis kuih-muih adalah satu kerjasama yang mantap dalam menjayakan program yang telah dimasukkan dalam takwim aktiviti sekolah, ini” katanya ketika ditemui dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri SK Cherang Ruku, dekat sini hari ini.

Yang hadir sama, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Mohd. Zanawi Isa dan Timbalannya, Karimah Mohd. Nor serta semua Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Ke­selamatn Kampung Persekutuan (JKKP) berdekatan.

Wan Abdul Aziz berkata, sepanjang Ramadan lalu keseluruhan murid Islam berjaya mengadakan program tadarus dan khatam al-Quran yang dikendalikan Panitia Pendidikan Islam, manakala aktiviti sambutan hari raya pula dikendalikan oleh jawatankuasa perayaan unit kokurikulum sekolah.

“Penyertaan murid dalam pelbagai acara yang disusun menerusi program berkenaan adalah sebahagian aktiviti kokurikulum yang turut disediakan hadiah-hadiah galakan dan penghargaan,” katanya.