Pengerusi KUWAK, Nor Ariati Salleh berkata, program derma darah dengan kerjasama Unit Perubatan Transfusi Darah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), di sini berjaya menarik lebih 100 penderma terutamanya pelajar universiti berkenaan.


Nor Ariati berkata, sebanyak 50 kampit beras dengan setiap satu seberat lima kilogram (kg) disediakan untuk 50 penderma terawal yang hadir.


“Kita turut menjemput penderma darah dari kalangan asnaf untuk datang menderma sebagai usaha menggalakkan mereka menyumbang kepada masyarakat.


“Ini adalah program derma darah kali pertama yang KUWAK anjurkan dan bakal dijadikan acara tahunan kami,” katanya ketika ditemui Utusan Online di sini hari ini.


Yang turut hadir memberi sokongan kepada program itu adalah Pengerusi PH Kota Bharu yang juga Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Kota Bharu, Che Kamaruzaman Che Ismail.


Sementara itu, Exco Kesihatan Sekretariat Sukarelawan USM, Sukphawady I Chok yang mewakili pelajar berkata, meskipun sibuk dengan kelas tetapi ramai pelajar masih meluangkan masa untuk menderma darah.


“Kami sebagai antara penderma terawal teruja terima sumbangan beras tetapi kami kembalikan semula kepada KUWAK supaya ia dapar diagih kepada mereka yang lebih memerlukan,” katanya.


Dalam pada itu, seorang tukang cuci di HUSM, Zainab Abd Kadir, 55, turut mengambil peluang menderma darah.


“Ini kali ketiga saya menderma darah di hospital ini, memang rasa satu tanggungjawab kerana setiap hari saya dapat lihat dengan mata sendiri kepentingan bekalan darah untuk membantu pesakit,” katanya. - UTUSAN ONLINE