Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, keadaan itu akan menyebabkan berlaku pertambahan kenderaan serta kesesakan jalan raya yang teruk.

Justeru beliau berkata, pihaknya telah mengenal pasti 16 kawasan kerap berlaku kemalangan di seluruh negeri ini yang akan diberi lebih penumpuan pada Ops Selamat selama 15 hari bermula hari ini.

“Antara kawasan terlibat ialah, laluan Kota Bharu - Gua Musang - Kuala Lipis; Kuala Krai - Gua Musang; Kota Bharu – Machang - Gerik; Kota Bharu - Pengkalan Chepa; Kota Bharu - Machang; Kota Bharu - Terengganu; Pengkalan Kubur- Kota Bharu dan di Pasir Mas melibatkan laluan Kota Bharu - Pasir Mas - Rantau Panjang.

“Kita akan kerap mengadakan rondaan dan menempatkan anggota penguatkuasa bersama kamera terutama di lokasi yang sering berlaku kemalangan ini bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan ketika memandu terutama membabitkan pematuhan had laju dan pemakaian tali pinggang keledar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Ops Selamat berkenaan di hadapan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPNK), Bandar Baru Tunjong, di sini, semalam.

Sementara itu, Hasanuddin berkata, statistik kemalangan maut yang direkodkan oleh Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kelantan menunjukkan penurunan dengan sejumlah 392 kes kemalangan maut membabitkan 431 kematian pada tahun lalu.

“Jumlah itu berkurangan berbanding 410 kes kemalangan maut bersama 469 kematian pada 2017. Keseluruhan jumlah kes kemalangan yang berlaku pada tahun lalu pula berjumlah 10,977 dengan penurunan sebanyak 13 kes berbanding 10,990 kes yang dicatatkan pada 2017.

“Hanya berlaku penurunan dalam jumlah yang sangat kecil dan sekalipun menurun, rekod jumlah kemalangan melebihi 10,000 kes yang dicatatkan itu masih lagi satu jumlah angka yang sangat tinggi dan amat membimbangkan,” ujarnya

Tambahnya, polis akan terus melaksanakan operasi trafik tanpa henti bukan untuk menganiaya pengguna atau sebagainya, sebaliknya mahu memastikan kelancaran aliran kenderaan di jalan raya. - UTUSAN ONLINE